Mmm..dh lama sgt x update blog yg satu
ni..just nk share ngan kawan2. Mungkin boleh dibuat panduan untuk kita menjadi
seorang teman@kawan@sahabat yg baik. Dan untuk pengetahuan semua, saya pernah
guna tajuk ni untuk sesi pengucapan awam masa kursus induksi. Tak silap masa tu
tahun 2006. Kebetulan untuk sesi tu semua peserta diberi kebebasan untuk pilih
tajuk sendiri. Jom baca n hayati sama2.
Dalam hidup ini kita tidak punya
sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendiri kita beruntung kerana
mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan
seorang sahabat yang memahami kita, begitu juga dia.
Tetapi kita sering terlupa akan hal
itu. Kita cuma mengambilkira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa
dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang
untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu hanya alasan untuk menutup
kesilapan dan membela diri. Kita terlupa kita juga pernah membiarkan dia
ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati.
Kita beri dia alasan memaksa dia
menerima alasan kita. Waktu itu terfikirkah kita tentang perasaannya? Seperti
kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa...Betapa untungnya kita mempunyai seorang
kawan yang sentiasa disisi kita pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar
luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian. Dia
memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.
Selalunya kita asyik bercerita tentang
diri kita hingga kadang-kadang terlupa dia juga ada cerita yang ingin dikongsi
bersama kita. Pernahkah kita memberi peluang untuk dia menceritakan tentang rasa
bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkannya sebagaimana dia pernah
menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita
gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup
semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita
yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat bersandar
bila terasa lemah agar tiada rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia
sandarkan harapan?
Sesekali jadilah kawan yang hanya
mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan
perasaan kawan kerana dia juga manusia seperti kita. Dia juga punya rasa takut
dan bimbang..Dia juga punya rasa sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan
perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu!!!
Kita selalu melihat dia ketawa tetapi
mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang disangka. Disebalik senyumannya
mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Disebalik kesenangannya
mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu tetapi jika kita cuba
menjadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu..
RENUNGILAH...